Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Taman Rekreasi Tengku Anis
Taman Rekreasi Tengku Anis seluas empat ekar terletak di Kilometer 10 Jalanraya Pasir Mas – Rantau Panjang. Taman ini telah dirasmikan oleh DYMM Raja Perempuan Kelantan pada 27 Jun 2000. Idea penubuhan Taman Rekreasi Tengku Anis telah dicetuskan sendiri oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan dan DYMM Raja Perempuan Kelantan.
Taman Rekreasi Tengku Anis juga menyediakan beberapa kemudahan kepada pengunjung-pengunjung seperti surau, tandas, trek untuk berjoging, wakaf dan kerusi rehat serta taman permainan kanak-kanak. Berhampiran dengan taman tersebut juga terdapat beberapa buah kedai dan gerai menyediakan berbagai jenis masakan ala Thai khusus untuk pengunjung menjamu selera.
Tasik Danau To' Úban
Tasik Danau To 'Uban terletak di Kampung To' Uban dalam daerah Pasir Mas merupakan salah satu tempat pelancongan yang menarik. Terletak hampir 20 kilometer dari Bandar Pasir Mas, tasik ini menyediakan permandangan yang indah dihiasi rimbunan hijau dikiri kanan memberi suasana yang penuh nyaman bagi mereka yang inginkan suasana tenang dan juga aktiviti seperti perkhemahan dan perkelahan bersama keluarga.
Tasik Danau To 'Uban juga terkenal sebagai salah satu lubuk bagi penggemar sukan memancing kerana terdapat beberapa spesis ikan air tawar yang membiak di dalam tasik tersebut secara semulajadi antaranya baung, talapia, kelah, lampang dan sebagainya.
Pasar Besar Pasir Mas
Pasar Besar pekan Pasir Mas adalah ikon pelancongan dan simbol membeli-belah terutamanya pakaian dan barangan dapur bagi kebanyakan pelancong dan penduduk setempat. Pasar Besar Pasir Mas dibuka setiap hari dari pukul 7 hinggan 6 petang.
Peniaganya yang dimonopoli oleh kaum hawa menjadikan pasar ini sebagai tarikan pelancongan yang unik. Pasar ini sangat meriah di hari minggu dan cuti sekolah. Penduduk sekitar Pasir Mas juga sering ke sini untuk membeli barangan asas dan keperluan dapur.